TERIMA KASIH ARAB SAUDI KERANA MEMILIH JEMAAH HAJI DARI MALAYSIA – ZULKIFLI

KUALA LUMPUR: Berita rakyat Malaysia yang terpilih menunaikan ibadah haji tahun ini turut diraikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau mengucapkan penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi kerana memberi kepercayaan kepada rakyat Malaysia yang berada di negara itu untuk menunaikan ibadah haji ketika negara itu mengehadkan jumlah jemaah tahun ini susulan COVID-19.

“Saya akan buat satu panggilan video dengan jemaah haji yang terpilih untuk mengucapkan selamat berangkat walaupun mereka sudah berada di sana.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan itu untuk mengucapkan terima kasih kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Sijil Wakaf Bangunan dan Sambutan Ulang Tahun Yayasan Wakaf Malaysia Ke-12 yang berlangsung di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, hari ini.

Semalam AlHijrah Online melaporkan lapan rakyat Malaysia di Arab Saudi terpilih menunaikan ibadah haji tahun ini. – AlHijrah Online / Hanisa Hasanuddin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *