TFC Atur sesuatu Strategik

KUALA TERENGGANU: Selepas mengharungi tiga aksi persahabatan, Terengganu FC (TFC) mempunyai ramuan terbaik menjadi pencabar utama dalam baki aksi Liga Super pada musim kini yang bersambung pada Sabtu ini.

Malah, barisan pemain skuad kendalian Nafuzi Zain sudah bersedia berdepan dengan Perak FC pada perlawanan ke-14 itu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Pengurus pasukan, Zulfadli Rozi berkata, aksi persahabatan itu memberi pengalaman berharga buat semua pemain skuad Penyu selain barisan jurulatih dapat menilai dan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan yang ada pada pasukan.

“Selepas tiga aksi persahabatan itu, jurulatih sudah nampak barisan pemain yang bakal disenaraikan nanti, maknanya mereka mempunyai banyak pilihan tapi bukannya terlalu yakin kerana semua pemain diturunkan pada aksi pemanas badan itu.

“Malah, pemain pun bagaikan tidak sabar dan sudah bersedia sepenuhnya lebih-lebih lagi selepas hampir dua bulan menjalani latihan secara ‘camp based training’ sebagai persediaan menghadapi saingan Piala AFC yang dibatalkan berikutan tiada negara yang sedia menjadi tuan rumah.

“Tambahan pula setakat ini tiada sebarang kecederaan pemain serta penggantungan selepas lebih dua bulan tidak beraksi dalam saingan kompetitif itu kerana liga berehat panjang,” katanya ketika dihubungi.

Pada aksi persahabatan itu, TFC yang kini ,menyenaraikan dua import baharu pada jendela kedua perpindahan pemain iaitu Habib Haroon dari Bahrain dan pemain pinjaman dari Sri Pahang yang juga bekas pemainnya, Lee Tuck tewas 0-2 kepada Penang FC dalam perlawanan pertama sebelum membelasah PDRM FC 3-0 dan Kelantan United 4-0.

Mengulas pertemuan dengan skuad The Bos Gaurus itu nanti, beliau akui corak permainan pasukan lawan sukar untuk dibaca kerana mereka membariskan lima import baharu selain beberapa pemain tempatan yang ada.

“Kita tidak akan sesekali memandang mudah keupayaan pasukan Perak FC kerana sejak dulu lagi skuad itu konsisten selain mempunyai reputasi yang hebat dalam Liga Malaysia (Liga M),’ katanya.

Pertemuan pusingan pertama di Stadium Perak, Ipoh Mac lalu memihak kepada skuad Penyu dengan kemenangan 2-0 hasil jaringan Faisal Abdul Halim dan pemain kelahiran Ivory Coast, Dechi Marcel.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous post Viral:Bekas pemain Kedah, Azmeer Yusof mahu bantu bayar kompaun lelaki yang ziarah kubur
Next post Sejarah Bola Sepak Kedah