Skuad Bangsawan Dalam Liga M

SELAIN Kedah, lima pasukan ‘bangsawan’ iaitu Terengganu, Pahang, Perak, Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT) turut menawarkan gaji lumayan sama ada kepada pemain import mahupun tempatan.

Tawaran maksimum sehingga RM100,000 sebulan buat tonggak import dan RM80,000 untuk anak tempatan adalah tawaran biasa diberikan kepada pemain terbabit bagi memastikan misi mengikat tonggak pujaan menjadi kenyataan.

Justeru, tidak hairan mengapa skuad Kedah sanggup berbelanja besar sehingga sanggup menawarkan gaji lumayan RM125,000 sebulan dipercayai untuk penyerang importnya, Kpah Sherman seperti didedahkan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor, Ahad lalu.

Menurut ejen terkenal tempatan, Syed Qamarul Firdaus Samat, sekiranya benar gaji RM125,000 itu milik Sherman, ia tidak mengejutkan kerana penyerang dari Liberia itu adalah penjaring terbanyak Liga Malaysia tahun lalu.

Justeru, dengan statusnya itu ditambah keinginan tinggi pengurusan Kedah untuk membawa masuk Sherman pada awal musim ini, tidak mustahil harga berkenaan diletakkan ejennya sebelum dipersetujui pengurusan pasukan.

“Bukan kata Kedah sahaja, sebenarnya ada lima pasukan lain juga menawarkan gaji tinggi. Tetapi ia bergantung kepada keinginan pasukan kerana ejen mencari pemain seperti ciri dikehendaki.

“Apabila pasukan tetap mahu pemain diidamkan, di situ ejen cuba bermain harga dengan menawarkan gaji tinggi di awal perbincangan. Tetapi keputusan akhir tetap di tangan pasukan. Maksud saya, kalau pasukan tak setuju dengan permintaan gaji diminta (pada awal perbincangan), pasukan boleh minta kurangkan.

“Saya tak terkejut dengan pendedahan Presiden KFA itu kerana memang demand (permintaan) ke atas Sherman sangat tinggi dan kebetulan dia pemenang Kasut Emas musim lalu,” katanya, semalam.

Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah sebelum ini mendedahkan KFA menanggung hutang RM10.6 juta membabitkan pelbagai tunggakan termasuk gaji pemain dan pegawai akibat dosa pengurusan terdahulu berbelanja mewah, selain terkejut ada pemain Kedah menerima gaji RM125,000 sebulan.

Mengulas lanjut, Qamarul berkata, gaji Sherman mungkin meletakkan dirinya ketika ini sebagai pemain import paling mahal dalam saingan liga tempatan.

“Saya dengar juga dari pasukan lain mengenai gaji pemain import atau tempatan. Tapi rasanya gaji di Kedah antara paling lumayan buat masa ini,” katanya.

sumber:HM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *