Siapa Pengganti Tempat Azmeer ?

Semua telah sedia maklum, malam tadi, bek kiri Kedah, Azmeer Yusof menerusi akaun media sosialnya telah mengumumkan pengunduran diri daripada pasukan.

Dengan itu, berakhirlah spekulasi mengenai identiti pemain yang akan meninggalkan pasukan seperti yang didedahkan Berita Harian sebelum ini. Dengan pengunduran tersebut, Kedah telah kehilangan bek kiri terbaik yang mereka miliki ketika ini.

Bek kiri terbaik Kedah di era kini

Selepas berkelana ke Kuala Lumpur untuk dua musim selepas semusim di Kedah, Azmeer Yusof kembali memperkuatkan Helang Merah bermula pada musim 2019. Untuk dua musim Kedah kehilangan bek kiri terbaik yang mereka miliki ketika itu.

Fitri Omar, Ariff Farhan, Asri Mardzuki dan Norfiqrie Talib adalah antara pemain yang telah dicuba untuk menampung ketiadaan bek kiri yang dominan sejak pemergiannya. Hanya Fitri Omar yang mungkin beraksi sedikit baik disebabkan pengalamannya.

Kembali semula bersama Kedah ketika pengendali asal Singapura, Aidil Sharin Sahak mengambil alih pasukan, pemain yang meraih kejuaraan Piala Malaysia 2016 bersama skuad Jelapang Padi itu tidak menoleh ke belakang untuk menjadi pilihan utama.

Beliau bersaing bersama seorang lagi pemain yang baharu menyertai kem pasukan, Alif Yusof. Musim ini, Alif Yusof hanya tampil sekali – itupun hanya sebagai pemain gantian. Selepas era Shafizan Hashim, Azmeer Yusof adalah antara yang terbaik.

Kini, siapa akan ambil alih?

Mungkin Aidil Sharin sudah mengetahui kehendak pemain ini sejak dari awal kerana kebiasaannya pemain akan memaklumkan kepada jurulatih mengenai keputusan mereka sebelum ianya diumumkan. Jadi, adakah Kedah sudah bersedia?

Mungkin agak sukar pada awalnya dengan situasi moral pasukan yang sangat terjejas akibat masalah tunggakan gaji yang memasuki lima bulan, namun, mereka perlu segera mendapatkan pemain yang benar-benar mampu ‘simen’ posisi tersebut.

Alif Yusof mungkin adalah nama pertama yang akan naik kerana sememangnya beliau adalah pengganti terus kepada Azmeer Yusof. Namun, dalam sesetengah situasi, Alif Yusof sebenarnya agak bermasalah untuk menjadikan posisi tersebut miliknya.

Oleh yang demikian, untuk sementara sebelum jendela perpindahan kembali dibuka, Kedah perlu memberikan peluang bukan sahaja kepada Alif Yusof, tetapi beberapa pemain lain untuk cuba mengambil alih posisi bek kiri tersebut secara tetap.

Norfiqrie Talib, Zulkhairi Zulkeply atau Shakir Hamzah

Seperti yang semua telah tahu, Norfiqrie Talib pernah seketika menampung ketiadaan Azmeer Yusof pada musim 2018 dan pemain yang kini berusia 24 tahun itu dilihat masih tidak segan mencuba untuk memecah masuk ke skuad utama sehingga kini.

Namun, posisi sebenarnya adalah bek kanan menjadikannya akan kurang menjadi di sebelah kiri. Begitu juga dengan anak kelahiran Pulau Pinang, Zulkhairi Zulkeply, yang merupakan pertahanan tengah tetapi mampu beraksi di bek kiri dan kanan.

Selain Alif Yusof yang merupakan bek kiri sejati, seorang lagi yang mungkin selama dua musim ini tidak dimainkan di posisinya adalah Shakir Hamzah. Dia lebih terkenal sebagai pertahanan tengah bersama Kedah – bergandingan bersama Renan Alves.

Mungkin sudah tiba masanya untuk Aidil Sharin mengembalikan Shakir Hamzah ke posisi tersebut bagi mengukuhkan pasukan. Ini kerana, untuk musim ini, mereka memiliki salah seorang pertahanan tengah muda terbaik negara, Irfan Zakaria.

Banyak pilihan untuk ganti Shakir Hamzah

Kehadiran pertahanan tengah yang memenangi pingat perak di Sukan SEA 2017 bersama skuad B-23 negara itu memberikan lebih pilihan kepada Aidil Sharin, selain Loqman Hakim yang dinaikkan pangkat daripada skuad Piala Presiden.

Kedah masih memiliki pertahanan otai, Khairul Helmi Johari sebagai pemain backup, malah pemain tengah, Amirul Hisyam Awang Kechik juga boleh membantu di posisi itu, jika diperlukan. Zulkhairi Zulkeply juga merupakan seorang pertahanan tengah.

rfan Zakaria sudah cukup bersedia untuk menggantikan Shakir Hamzah, jika pemain berusia 27 tahun itu diperlukan di posisi bek kiri dan beliau merupakan bek kiri yang suka untuk membuat overlap serta boleh dianggap sangat berkesan di depan gol.

Jika hendak dibandingkan dengan Alif Yusof, Shakir Hamzah yang merupakan bek kiri skuad kebangsaan Singapura itu jauh lebih baik dan pilihan utama untuk diberikan peluang mengambil alih peranan yang ditinggalkan Azmeer Yusof pada ketika ini.

Penutup

Siapakah penganti terbaik sebagai bek kiri Kedah selepas ketiadaan Azmeer Yusof? Jika Shakir Hamzah diberikan peranan itu, ia merupakan sesuatu yang baharu buat Kedah kerana beliau akan menjadi pemain import pertama bermain di posisi tersebut.

Siapakah yang bakal dipertaruhkan sebagai bek kiri Kedah selepas ini? Hanya Aidil Sharin sahaja yang mengetahuinya. Apa kata penyokong Kedah? Adakah Kedah bakal melalui situasi seperti musim 2018, di mana tiada pemain tetap di posisi tersebut?

KREDIT FEATURED IMAGE: KEDAH FA & ARENA HIJAUKUNING

sumber: semuanyabola.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *