Pesanan Azmeer Yusof Untuk Semua Sebelum Berundur Dari Kedah FA

Mist3ri mengenai permintaan seorang pemain Kedah untuk menamatkan kontrak akhirnya terjawab apabila Azmeer Yusof mengumumkan pengundurannya daripada pasukan menerusi akaun media sosial.

Menurut pemain berusia 30 tahun itu, keputusan tersebut dibuat bukanlah disebabkan masalah gaji tertunggak yang sedang membelenggu pasukan terbabit, tetapi kerana mahu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada beberapa perniagaan yang sedang dijalankan.

“Saya doakan yang terbaik buat pasukan Kedah FA. Semoga terus mencipta kejayaan-kejayaan di masa akan datang. Ampun maaf dipinta kepada semua pihak seandainya kehadiran saya ke bumi Jelapang Padi tidak dialu-alukan. Sesungguhnya yang baik datang dari Allah Taala, yang buruk datang dari diri saya sendiri.

Kepada semua penyokong bolasepak Kedah FA, teruskan memberi sokongan kepada pasukan Kedah. Tanpa kalian, bolasepak tiada erti. Maafkan saya, saya akan sentiasa rindukan sorakan kalian.

Pemain kelahiran Taiping itu juga memohon para penyokong mendoakan supaya usahanya untuk membina sebuah pusat pengajian Islam dapat direalisasikan secepat mungkin.

“Pesanan saya yang terakhir kepada semua orang yang beragama islam. Agama kita, kita jaga dan jangan sesekali tinggalkan solat 5 waktu. Kerana itu soalan pertama Allah pada kita di Alam sana nanti. Maafkan saya dengan keputusan ini.”

Azmeer Yusof ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah terlibat aktif dalam perniagaan penjualan ikan selain turut memiliki perniagaan air mineral, kedai gunting rambut serta memiliki syarikat mengutip sampah.

Sumber dari Berita Harian pada 11 Jun mendedahkan seorang pemain skuad Lang Merah telah mengemukakan permohonan penamatan kontrak melalui wakilnya pada penghujung Mei yang lalu dan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sudah pun memberi maklum balas terhadap permohonan tersebut.

Kedah ketika ini sedang melalui saat sukar selepas didedahkan memiliki tunggakan gaji sejak Februari lalu sehingga kini. Beberapa pemain telah bersuara melalui media sosial masing-masing sebelum ini seperti Hadin Azman dan Shahril Saari.

Kredit Foto: Kedah FA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *