Kelompok Teratas Dalam Liga

PEMAIN Terengganu FC (TFC), D Saarvindran meletak harapan yang tinggi pasukannya mampu mengintai dua kelompok teratas Liga Super musim ini.

Bekas pemain kebangsaan itu yang baharu musim ini menyarung jersi skuad Penyu tekad mahu menghadiahkan kejayaan bermakna selepas berjaya memikat hati barisan jurulatih pasukan itu musim ini.

“Sebagai pemain profesional, kita perlu menjaga daripada segi pemakanan, rehat dan tidur yang cukupi selain melakukan aktiviti lain yang bersesuaian seperti joging penting untuk mengekalkan tahap kecergasan dan prestasi.

“Dengan berbaki lapan perlawanan lagi sebelum berakhir liga, saya yakin kami ada peluang yang cerah untuk mengintai dua kelompok terbaik liga, lagipun sebelum liga dihentikan prestasi pasukan kami tidak kurang hebatnya.

“Sepanjang tiga perlawanan yang sudah dilalui dengan empat mata, kita tewas sekali kepada Perak 1-3 pada aksi pertama liga sebelum menundukkan Kedah 4-3 di laman mereka dan bangkit mengikat Selangor 3-3.

“Jadi momentum itu jika kita tingkatkan lagi saya berkeyakinan pasukan mampu akhiri liga di kedudukan yang lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT) di Gong Badak, kelmarin.

Mengenai sesi latihan yang dilalui dalam suasana normal baharu, bekas pemain Johor Darul Ta`zim II (JDT II) itu positif walaupun corak latihan berlainan berbanding sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Saya tetap positif dalam latihan walaupun perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak kementerian kesihatan dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi mengekang wabak Covid-19,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *