Aidil bersuara sudah

KETUA jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak mendedahkan beliau terpaksa melakukan amalan berjimat cermat dalam perbelanjaan hariannya termasuk membeli nasi lemak bungkus yang harganya cuma RM1 untuk makan malam.

“Saya makan nasi lemak RM1 pun ok demi pasukan. Saya malu hendak beritahu hal ini, kerana ramai yang mungkin akan menyangka saya berada dalam situasi tidak menentu.

“Tetapi itulah hakikat cara saya berjimat cermat kini selepas isu gaji yang tersangkut berlaku hampir lima bulan lalu.

“Dalam seminggu itu ada beberapa kali saya akan singgah mendapatkan juadah nasi lemak panas di sekitar pasar borong di Alor Setar yang cuma kosnya RM1 dan ini menjimatkan kos perbelanjaan saya, lagi pun ia sedap kerana menjadi kegemaran kebanyakan orang tempatan.

“Sepanjang isu gaji ini melanda, yang paling penting saya mahu pastikan moral pemain saya bertahan dan ada juga kes di mana saya terpaksa hulurkan pinjaman sementara buat mereka bagi memastikan dapat datang ke tempat latihan,” katanya.

Jelas Aidil lagi, berat untuk beliau nyatakan kesan gaji tertunggak ini kerana jika dikira kos perbelanjaan keluarganya di Singapura pula, ia berjumlah kira-kira tiga kali ganda kos perbelanjaan jika dibandingkan dengan di sini.

Dengan isu gaji berlarutan menjangkau lima bulan, beliau hanya dapat berdoa agar semua masalah ini segera berakhir.

Jurulatih kelahiran Singapura ini juga berkata di sebalik berberdepan isu gaji yang masih berlarutan ini, beliau masih menerima kata-kata semangat dan perangsang terutama daripada keluarganya di Singapura agar terus tabah dan tidak berputus asa.

“Saya juga terharu dengan sokongan daripada ramai penyokong Kedah yang sentiasa memberi kata-kata semangat untuk saya dan pasukan setiap hari tanpa jemu.

“Bila mesej itu dibaca, hati saya saya tersentuh, kerana pasukan Kedah ternyata memiliki peminat yang sangat prihatin dan sentiasa memberi sokongan padu bukan sahaja buat saya dan pasukan di padang, malah juga di luar padang disaat pasukan menghadapi dugaan dan cabaran.

sumber:HM

“Selain sokongan daripada ramai jurulatih tempatan, jurulatih antarabangsa yang saya anggap sebagai ‘bapa’ dalam kerjaya saya iaitu Robert Albert yang juga bekas jurulatih Kedah turut menyampaikan pesanan motivasi agar saya terus bertabah dan meneruskan semangat juang bersama pasukan Kedah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *