ADAKAH SUMAREH AKAN BERHIJRAH KE JDT ?

KUANTAN: Pahang tiada hala­ngan jika pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh mahu berhijrah ke pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

 

Kontrak tiga musim Sumareh bersama Tok Gajah bakal berakhir hujung musim ini.

 

Jurulatih Pahang, Dollah Salleh berkata, untuk baki sai­ngan Liga M musim ini, pemain sayap kelahiran Gambia itu akan kekal di Pahang.

 

“Musim depan, jika Sumareh mahu berhijrah termasuk ke Johor Darul Ta’zim (JDT) terpulang kepadanya,” kata ­Dollah ketika dihubungi Utusan ­Malaysia semalam.

 

Baru-baru ini, spekulasi pemain itu akan meninggalkan Pahang bertiup kencang dalam media sosial selepas penyokong melihat ‘perbualan’ Sumareh dan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Instagram.

 

Rata-rata penyokong menyifatkan ‘gurau senda’ itu sebagai isyarat Sumareh yang menyertai Pahang pada 2017 akan berhijrah ke Harimau Selatan musim depan.

Sementara itu, pengurus Pahang, Datuk Mohamed Sufian Awang berkata, Tok Gajah sedia menghadapi sebarang kemungkinan Liga M ditunda atau diteruskan ekoran perkembangan pandemik Co­vid-19 yang membimbangkan.

“Latihan diteruskan seperti biasa dan pemain kini bersemangat untuk beraksi semula dalam saingan Liga M yang dijadual bersambung pada 26 Ogos,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *